Sistem beraja di Malaysia cukup unik & misteri Sistem beraja di Malaysia cukup unik & misteri
Sistem beraja di Malaysia cukup unik misteri
Di dunia, terdapat 44 negara yang ada raja, 16 daripadanya adalah
negara-negara Komanwel. Selainnya terdapat di Eropah (seperti Sepanyol,
Norway, Luxembourg, Belgium, Monaco, Liechstenstein dan Andorra serta di
Asia (seperti Thailand, Bhutan dan Kemboja). Antara negara Islam masih
mengekalkan sistem beraja termasuklah Malaysia, Arab Saudi, Brunei,
Oman, Qatar, Maghribi, Emirat Arab Bersatu, Kuwait dan Bahrain.
Pemimpin bergelar raja juga ada di Swaziland, Tonga dan Lesotho. Malah,
Pope yang bertakhta di Kota Vatican juga bertaraf raja (monarch).
Daripada kesemua ini, sistem raja tertua ialah Jepun, sejak ribuan tahun
lalu. Manakala yang tertua di Eropah ialah Denmark, yakni sejak abad
ke-10. Banyak kerajaan membubarkan sistem raja apabila mengguna pakai
sistem Parlimen ciptaan Eropah ratusan tahun dulu.
Pada abad ke-20, banyak negara bertukar menjadi republik, sekali gus
menamatkan sistem kerajaan berpaksikan raja, terutama selepas Perang
Dunia Pertama dan Kedua. Sama ada digelar King, Queen, Emperor, Empress,
Prince, Princess, Grand Duke, Khan, Khagan, Shah, Khalifah, Sultan atau
Emir, setiap raja mempunyai kedudukan istimewa dalam masyarakat
masing-masing.
Sehingga hari ini, Raja Thai dan Jepun dikaitkan dengan nilai ketuhanan.
Sesiapa didapati bersalah menghina raja, menerima hukuman berat. Untuk
sekian lama, raja di Nepal, China dan Eropah pada Zaman Pertengahan juga
disanjung sebegitu. Daripada sejarah, kita tahu ada yang menjadi raja
secara keturunan atau dinasti. Ada juga melalui rampasan kuasa atau
penggulingan.
Malah, ada juga yang mengisytiharkan diri mereka sebagai raja, contohnya
Napolean I (Perancis), Jean-Bedel Bokassa (Republik Afrika Tengah) dan
Yuan Shikai (China). Hari ini, hanya di tiga negara sahaja yang melantik
raja secara pemilihan: Emirat Arab Bersatu, Vatican dan Malaysia.
Pelantikan Yang di-Pertuan Agong adalah sistem paling unik di dunia.
Manakala kebanyakan raja di dunia adalah turun-temurun, Malaysia telah
mencipta satu sistem pemilihan demokratik dalam kalangan sembilan raja
negeri-negeri Melayu bagi melantik Yang di-Pertuan Agong yang menjadi
kepala utama negara selama lima tahun secara giliran.
Sistem ini adalah inovasi Tuanku Abdul Rahman, yang dilantik Yang
di-Pertuan Agong pertama (1957-1960). Sebagai kepala utama negara, Yang
di-Pertuan Agong adalah simbol kerajaan Malaysia yang merdeka dan
berdaulat. Baginda adalah payung semua rakyat, tanpa mengira kaum,
budaya dan agama. Semua warganegara bernaung di bawah takhta baginda,
yang bertanggungjawab memastikan kestabilan politik negara, serta
keharmonian, keamanan dan kerukunan dalam masyarakat.
Baginda adalah pelindung kedaulatan agama Islam, adat dan budaya Melayu
selain menjamin hak kaum dan penganut agama lain. Sebagai Panglima
Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia, baginda berfungsi sebagai tonggak
pertahanan negara. Di bawah Perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong
mempunyai kuasa budi bicara yang terhad untuk melantik Perdana Menteri.
Rakyat memuliakan institusi ini kerana baginda tidak campur dalam hal
ehwal politik, malah sering memberi titah bersifat nasihat dan panduan
kepada pemimpin kerajaan dan politik.
Bak titah Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah dalam satu rencana
akhbar mengenai baginda: “Raja adalah payung kepada rakyat dan rakyat
adalah tunjang kepada raja. Raja adalah sebagai penimbang tara supaya
keamanan, kestabilan dan ketenteraman awam dikekalkan sentiasa.” Atas
dasar inilah maka ‘Kesetiaan kepada Raja dan Negara’ dijadikan Prinsip
kedua Rukun Negara. Ini adalah pernyataan ikrar taat rakyat jelata
kepada raja yang dijunjung di tanah air tempat tumpah darah kesetiaan
kita.
Sebagai anak Kedah, saya amat berbangga dengan pelantikan dan
pemasyhuran Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah sebagai Yang
di-Pertuan Agong untuk kali kedua. Ini bukan saja rekod peribadi
baginda, malah kepada rakyat negeri Kedah. Kedah juga adalah antara
negeri yang melahirkan dua perdana menteri. Semua rakyat mendoakan
Tuanku melaksanakan tugas-tugas rasmi negara dengan cemerlang.
Dalam ucapan menjunjung kasih pada Majlis Jamuan Negara Sempena Tamat
Tempoh Pemerintahan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-13 di
Istana Negara pada 10 Disember lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Tun Razak berikrar, kerajaan pimpinannya akan sentiasa bertegas
memelihara dan melindungi Perlembagaan Persekutuan bersama institusi
Yang di-Pertua.
No comments:
Post a Comment